Mayat dua beradik lemas di Pasir Mas ditemukan
Vivi Sumanti
Disember 29, 2018 05:11 MYT
Disember 29, 2018 05:11 MYT
Selepas kira-kira empat jam hilang dalam Sungai Kelantan di Kampung Hujung Galok, di sini, mayat dua beradik dijumpai lemas.
Muhammad Zulfitri Norzahri, 11 tahun, dan Nur Afifah Norzahri, 8 tahun, ditemui sepasukan anggota bomba di dasar sungai kira-kira jam 10 malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohamad Nazri Ab Wahab berkata, operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada jam 9 malam selepas dihentikan seketika.
"Operasi disambung dengan bantuan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
“Pencarian ditumpukan di lokasi terakhir mangsa dilihat dan berjaya menemukan kedua-dua mereka di dasar sungai oleh PPDA,” katanya.
Terdahulu, kedua-dua mangsa dikatakan ke kawasan itu untuk berkelah bersama keluarga dan telah turun ke tebing sungai dan memasuki kawasan pasir jerlus sebelum dihanyutkan sungai.
Jenazah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
#berkelah
#bomba
#Kampung Hujung Galok
#Muhammad Zulfitri
#Nur Afifah Norzahri
#pasir jerlus
#Pasukan Penyelamat Di Air
#PPDA