Mayat dua beradik yang ditemui dalam keadaan berulat dan berbau busuk di rumah mereka di Ladang Kelapa Sawit Sungai Beruas, Kampung Pulau Meranti pada pagi Isnin masih dibedah siasat.

Ketua Balai Polis Beruas, Sonyruddin Darus berkata, pihak polis masih tidak dapat mengesahkan punca kematian sehingga bedah siasat kedua-dua mayat selesai.

"Kedua-dua mayat kini masih dibedah siasat di Hospital Ipoh dan kami tidak boleh mengesahkan punca kematian kedua-dua beradik itu kerana proses bedah siasat masih berjalan," katanya ketika dihubungi Astro Awani di sini, hari ini.

"Kami masih menunggu keputusan bedah siasat daripada pihak hospital," jelasnya. Mayat Salmiah Yaakob, 76 dan adiknya Salasiah, 71, yang bekerja sebagai penoreh getah ditemui anak saudaranya, Mazlan Yunus, 52, kira-kira pukul 9.30 pagi.

Menurut Mazlan, beliau menemui mayat kedua-duanya ketika melawat ibu saudaranya yang masih bujang dan tinggal bersama.

Katanya, ketika memasuki ke dalam rumah, beliau terkejut melihat Salmiah yang terlentang di lantai berdekatan pintu dapur dalam keadaan berulat serta mulutnya diikat dengan kain.

Tambahnya, beliau turut terkejut apabila mendapati mayat Salasiah dalam keadaan lidah terjelir berada di atas kerusi malas di ruang tamu.

Mazlan berkata, tiga minggu lepas ibu saudaranya memberitahunya terdapat warga Indonesia yang bertanyakan bilangan orang yang tinggal bersama mereka.

Kedua-dua dipercayai meninggal kira-kira lima hari sebelum mayat dijumpai.