Mayat ditemui di Sungai Muda dipercayai mati lebih 72 jam
Adie Sufian Zulkefli
Mei 28, 2020 09:33 MYT
Mei 28, 2020 09:33 MYT
Mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung di Sungai Muda dekat Kampung Jawa, di sini, pada lewat petang Rabu dipercayai sudah meninggal dunia lebih 72 jam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti mangsa kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat.
Menurutnya, keadaan mayat yang sudah kembung juga menyukarkan lagi proses mengenal pasti identiti mayat tersebut.
“Hasil siasatan daripada temu bual dengan penduduk kampung juga mendapati mereka tidak mengenali mangsa. Justeru, polis kini sedang menyemak kes orang hilang dari balai berdekatan.
“Pemeriksaan terhadap mayat mangsa pula mendapati terdapat kecederaan di bawah ketiak dan tapak tangan kanan, dipercayai digigit binatang dan dipercayai tiada melibatkan unsur jenayah,” katanya.
Tambah Adzli, mangsa dipercayai berusia lingkungan 20 tahun ke 30 tahun.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
#Adzli Abu Shah
#bomba
#bot
#dokumen pengenalan diri
#hilang
#jenayah
#Kedah
#kuala muda
#mangsa
#mati
#mati mengejut
#mayat
#meninggal dunia
#orang hilang
#polis
#siasatan
#Sungai Petani
#terapung