Mayat ditemui dalam rumah di Kerinchi

Astro Awani
Oktober 4, 2016 09:23 MYT
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman berkata mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan lanjut. - Gambar fail
Mayat seorang lelaki dilaporkan ditemui di dalam sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai kira-kira jam 11 malam tadi, menurut Harian Metro Online pagi ini.
Penemuan itu disahkan Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman, ketika dihubungi akhbar itu.
"Siasatan awal mendapati mengsa menghidap penyakit kencing manis. Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
"Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan lanjut," Sharul dipetik berkata.
Akhbar itu melaporkan, lelaki berusia 50-an itu dipercayai sudah meninggal dunia sejak seminggu lalu dan mayatnya ditemui penduduk setempat yang menghidu bau busuk dari rumah mangsa di tingkat sembilan.
Pihak polis dilaporkan mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Lembah Pantai bagi membuka pintu rumah mangsa yang terkunci dari dalam.
Menurut seorang jiran yang mahu dikenali sebagai Alias, mangsa kebiasaannya hanya pulang ke rumah seminggu sekali dan dia kali terakhir melihatnya pada hujung minggu lalu.
"Dia memang tinggal sendirian dan jarang berada di rumah. Sejak tiga hari lalu, kami terhidu bau yang sangat busuk sebelum mengambil keputusan melihat rumah mangsa dari bahagian tingkapnya.
"Kami terkejut apabila melihat mangsa terbaring kaku di hadapan pintu bilik kediamannya," Alias dipetik berkata.
#Asisten Komisioner Sharul Othman #Kerinchi #mayat #meninggal dalam rumah #polis brickfields #Projek Perumahan Rakyat
;