Mayat disumbat bagasi sempurna, hanya patah hidung - Polis

Umavathi Ramayah
Disember 11, 2024 18:15 MYT
Menurut polis, ketika ditemukan mangsa memakai baju dan seluar pendek hijau bermotif bunga serta cincin perak di jari kanannya. - Foto PDRM
KAJANG: Bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat seorang lelaki yang disumbat dalam bagasi sebelum dipercayai dicampak di Taman CP6, Cheras Perdana, di sini pada Selasa mendapati keadaan anggota badan mangsa sempurna.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa yang ditemukan dengan lengkap berpakaian itu hanya patah hidung.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang mendapati tiada kecederaan lain selain patah di bahagian hidung.
“Punca kematian diputuskan sebagai ‘pending laboratory investigation’ iaitu menunggu laporan lengkap makmal,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, berdasarkan keadaan fizikal mangsa, lelaki berkemungkinan berusia 20-an dan seberat 45 kilogram.
Beliau juga percaya mangsa yang ditemukan tanpa pengenalan diri itu adalah warganegara asing kerana tidak mempunyai kesan suntikan BCG pada tubuhnya.
Menurutnya, ketika ditemukan mangsa memakai baju dan seluar pendek hijau bermotif bunga serta cincin perak di jari kanannya.
Dalam kejadian pada Selasa, polis menerima panggilan 11.45 pagi daripada orang awam berhubung penemuan sebuah bagasi berbau busuk.
Pemeriksaan mendapati mayat seorang lelaki disumbat dalam bagasi dan mayat tersebut dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900 atau mana-mana balai polis terdekat dengan segera.
#mayat dalam bagasi #patah hidung #Cheras Perdana #polis kajang #terkini
;