Mayat dipercayai lelaki warga emas hilang 6 hari lalu ditemukan
Bernama
Julai 9, 2021 06:23 MYT
Julai 9, 2021 06:23 MYT
JERTIH: Polis menemui satu mayat yang dipercayai seorang lelaki warga emas, yang dilaporkan hilang sejak enam hari lepas di dalam hutan di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut di sini Jumaat petang.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, berdasarkan kepada pakaian pada mayat yang ditemui terbaring itu, ia dipercayai Yaacob Lateh, 83, yang dilaporkan keluar dari rumahnya dengan menunggang motosikal, pagi Ahad lepas.
"Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu, kerana mayat itu telah pun berbau," katanya kepada Bernama di lokasi kejadian petang tadi, yang terletak kira-kira dua kilometer daripada lokasi motosikalnya ditemui pada Isnin lepas.
Abdul Rozak berkata, mangsa yang dikatakan mengalami masalah kurang daya ingatan, dipercayai tidak menemui jalan pulang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Lubuk Kawah, di sini yang terletak kira-kira 20 kilometer dari lokasi penemuan mayat tersebut.
"Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut malam ini (Jumaat) untuk bedah siasat, dan proses pengecaman oleh waris. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Katanya operasi SAR hari ini melibatkan 120 individu terdiri daripada pasukan Polis Diraja Maysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta penduduk kampung.
-- BERNAMA
#mayat lelaki warga emas
#Abdul Rozak Muhammad
#warga emas
#Yaacob Lateh
#Kampung Lubuk Kawah
#Unit Forensik Hospital Besut