Mayat dikerat 5, disumbat dalam bagasi ditemukan

Umavathi Ramayah
Januari 17, 2023 17:54 MYT
Abu Bakar berkata, penemuan mayat itu terbongkar selepas orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu menghubungi polis. - Foto PDRM Sungai Buloh
SUNGAI BULOH: Kejam! Anggota badan termasuk kepala, tangan dan kaki dikerat lima sebelum disumbat ke dalam sebuah bagasi.
Badan mayat yang dipercayai seorang lelaki ditemukan tidak jauh dari lokasi bagasi tersebut yang didakwa dicampak ke dalam longkang di Kilometer 447.4 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Buloh menghala Rawang, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, penemuan mayat itu terbongkar selepas orang awam yang melalui kawasan itu menghubungi polis, kira-kira pukul 11.45 pagi Selasa.
"Pemeriksaan di dalam bagasi berkenaan menemukan serpihan potongan badan iaitu mayat tanpa kepala dan kedua-dua belah tangan serta kaki.
"Identiti mayat berkenaan belum dikenal pasti berikutan keadaan mayat dipotong dari bahagian pinggang ke atas dan tiada dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Selasa.
Shafa’aton turut berkata, siasatan lanjut sedang bagi mengenal pasti motif kejadian dan suspek terlibat.
Berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dibunuh di sebuah lokasi berasingan sebelum mayatnya dipercayai dicampak di situ.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Insepektor A Aruneswaari di talian 012-697299 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.
#Lebuhraya Utara-Selatan #mayat #tanpa kepala #bagasi
;