Mayat dibakar ditemui di Subang Bestari

Bernama
Januari 9, 2013 08:37 MYT
Satu rangka manusia dengan tengkorak, badan dan kaki dipisah-pisahkan serta mempunyai kesan bakar ditemui di tapak pembakaran sampah di kawasan projek perumahan banglo di Laman Permai, Subang Bestari hari ini.
Ketua Polis Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang berkata rangka itu ditemui seorang pemaju perumahan kawasan berkenaan yang melalui kawasan itu.
Siasatan awal mendapati sebahagian daripada badan dan kaki ditemui masih mempunyai daging dengan kesan gigitan binatang, katanya ketika ditemui di tempat kejadian dekat sini.
"Kita percaya mangsa kemungkinan dibunuh dan dibakar di situ sejak tiga hari lepas.
"Kita juga menjumpai pakaian serta kasut milik mangsa yang separuh terbakar dan ia dipercayai milik seorang lelaki dewasa," katanya.
Junaidi berkata tiada sebarang pengenalan diri ditemui dan tiada sebarang laporan mengenai kehilangan orang sejak seminggu lepas.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.
#mayat #Subang Bestari #terbakar
;