Mayat dengan 4 kesan tembakan ditemui tersangkut pada pokok

Sinar Harian
Januari 2, 2023 15:45 MYT
Berdasarkan keadaan mayat tersebut, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua minggu lalu. - Gambar fail
TUMPAT: Satu mayat reput dengan empat kesan tembakan di tengkorak kepala ditemui tersangkut pada pokok di tebing Sungai Golok berdekatan pangkalan haram Belakang Berek 12, Bukit Bunga, Tanah Merah pada Ahad.
Mayat lelaki itu ditemui oleh seorang pemancing ikan pada jam 3 petang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berdasarkan keadaan mayat tersebut, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua minggu lalu.
“Siasatan polis di lokasi kejadian mendapati mayat berseluar, tidak berbaju dan tidak ada pengenalan diri ditemui.
“Hasil bedah siasat oleh pakar patologi mendapati punca kematian akibat empat das tembakan di bahagian kepala,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2021 di Balai Polis Wakaf Bharu di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah.
Muhamad Zaki memaklumkan keadaan mayat yang tidak sempurna itu turut menyukarkan proses pengecaman identiti dilakukan selain tidak menemui kelongsong peluru untuk merujuk jenis senjata atau pistol yang digunakan.
“Tanda-tanda seperti suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG) pada mayat tidak dapat dikesan kerana mereput.
#mayat reput #kesan tembakan di tengkorak kepala #Sungai Golok #Muhamad Zaki Harun
;