Mayat dalam semak, dua lagi ditahan
Muhafandi Muhamad
November 5, 2016 11:33 MYT
November 5, 2016 11:33 MYT
Polis menahan dua lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat empat warga Myanmar di dalam semak, menjadikan keseluruhan empat suspek ditahan sehingga kini.
Ketua polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, mereka kini direman seminggu sehingga Khamis depan.
Kedua-dua mereka ditahan dalam serbuan di Kota Bharu petang Jumaat oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Bukit Aman.
“Setakat ini , dua daripada suspek mengaku terbabit dalam kes bunuh itu tetapi saya tidak mahu dedahkan pengakuan mereka.
“Tetapi mereka pada asasnya mengaku terlibat dan kita telah tunjuk senjata yang kita syak dan ada diantara mengaku membeli pisau,” kata Ab Rahman.
Pihaknya juga percaya akan dapat menahan kesemua suspek dalam masa terdekat dan meminta orang ramai tampil memberi maklumat.
Hasil siasatan juga mendapati kes berkenaan berkaitan dengan pergaduhan agama di Rohingya.
Katanya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kini giat memburu saki baki suspek.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan penemuan mayat empat lelaki warga Myanmar dalam semak di Kampung Tanjung Hilir, Bekelam, Bachok pada 6.35 petang, minggu lalu.
Semua mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain dengan kepala ditekup menggunakan plastik dan ditikam di perut serta dada, sebelum mayat mangsa dicampak ke lokasi berkenaan.