Mayat budak ditemui dengan kesan gigitan buaya di kaki

Sinar Harian
November 7, 2021 10:15 MYT
Mayat mangsa ditemui penduduk kampung di Sungai Kampung Bakau Lama, Lahad Datu pada pagi Ahad sebelum dibawa naik ke darat. - Foto Sinar Harian
LAHAD DATU: Kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya akhirnya ditemui dengan kesan gigitan pada kaki di Sungai Kampung Bakau Lama di sini pada Ahad.
Mayat kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemui dalam keadaan terapung oleh penduduk kampung pada jam 6.41 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, operasi SAR yang disambung pada hari kedua dimulakan kira-kira jam 6.30 pagi bersama penduduk kampung.
“Mangsa kemudian ditemui penduduk kampung dalam keadaan terapung di sungai pada jarak 700 meter dari lokasi mangsa diserang buaya.
“Ketika ditemui, terdapat kesan gigitan pada kaki kiri mangsa dipercayai akibat digigit buaya namun mayat mangsa masih dalam keadaan sempurna,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Menceritakan kejadian, Sumsoa berkata, mangsa dipercayai diserang buaya pada Sabtu ketika sedang mencari udang untuk umpan memancing bersama dua rakannya.
BACA: Kanak-kanak hilang dipercayai dibaham buaya
“Rumah mangsa terletak di atas air. Ketika kejadian mangsa dikatakan menangkap udang di bawah kolong rumahnya namun tiba-tiba diserang buaya di bahagian kaki.
“Mangsa dapat melepaskan diri namun ketika masih berdiri di sungai itu, dia sekali lagi diserang di bahagian pinggang sebelum ditarik ke dalam sungai dan hilang,” katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Kanak-kanak #buaya #mayat #terapung
;