Mayat Bernard Then dibakar di Manila hari ini
Bernama
Januari 15, 2016 21:23 MYT
Januari 15, 2016 21:23 MYT
Upacara terakhir untuk mayat mendiang Bernard Then Ted Fen, jurutera Malaysia yang dibunuh di Filipina tahun lalu telah disempurnakan di Rumah Pengebumian Rizal di Pasay City, Manila Selatan, pagi hari ini.
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata beliau dimaklumkan bahawa mayat mendiang telah dibakar di Perkuburan Pasay City.
"Saya bangga kita berjaya menutup episod tragik yang mengorbankan rakan kita Anak Sarawak, mendiang Bernard Then yang dibunuh oleh militan Abu Sayyaf di selatan Filipina," katanya dalam status terbaru Facebook.
"Kita berkongsi kesedihan, kesakitan dan kekhuatiran dengan anggota keluarga sepanjang episod ini. Kita telah kehilangan satu nyawa oleh tindakan kecam dan tidak berperikemanusiaan orang yang tidak menghormati nyawa manusia," katanya.
Bernard, dari Sarawak telah diculik dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei tahun lalu bersama dengan pengurus restoran terbabit Thein Nyuk Fun, 50, oleh sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai ada hubungan dengan kumpulan militan dari selatan Filipina.
Nyuk Fen dibebaskan oleh penculiknya pada 8 Nov sementara Bernard, 39, telah dipenggal kepalanya di suatu lokasi terpencil di Pulau Jolo, selatan Filipina pada 11 Nov.
Adenan berkata Kerajaan Negeri bangga dapat membantu anggota keluarga mendapat penerbangan ke Manila dan membawa pulang abu mayat mendiang pada esok.
"Saya mahu menasihati rakyat Sarawak yang berada di kawasan berlaku kekacauan di Sabah atas urusan kerja, cuti atau perniagaan mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak berulangnya tragedi," kata beliau.
Semalam Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri Datuk Fatimah Abdullah bersama pegawai khas Adenan, Wan Khalik Wan Mohamad berlepas ke Manila bagi menemani ibu bapa Bernard di upacara pembakaran mayat mendiang.