Mayat bekas anggota TLDM ditemui PPM Semporna

Astro Awani
Julai 10, 2020 18:43 MYT
Dalam penemuan kira-kira jam 11.30 pagi itu, bot ronda yang melakukan rondaan harian menjumpai satu mayat lelaki terapung di kawasan laut berkenaan yang dipercayai mayat Mahmur. - Gambar fail
Mayat seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mahmur Ajae, 45, yang dilaporkan hilang di laut sejak 4 Julai lalu ditemui Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna di kawasan laut Pulau Omadal pada Jumaat.
Dalam penemuan kira-kira jam 11.30 pagi itu, bot ronda yang melakukan rondaan harian menjumpai satu mayat lelaki terapung di kawasan laut berkenaan yang dipercayai mayat Mahmur.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata ahli keluarga Mahmur yang berada di lokasi penemuan kemudiannya mengesahkan mayat tersebut adalah mayat Mahmur yang hilang sejak seminggu yang lalu.
Mayat seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Semporna untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga Allayarham untuk dikebumikan.
Sebelum ini Mahmur dan rakannya Salimin Paludin, 44, dikatakan keluar ke laut pada Jumaat lalu untuk memancing sebelum bot yang mereka naiki dipukul ombak lalu karam pada pagi Sabtu.
Salimin bagaimanapun dapat diselamatkan manakala Mahmur hilang dan tidak dapat dikesan sehinggalah mayatnya ditemui pagi tadi.
#bot #hilang #Hospital #karam #mahmur ajae #Malaysia #mayat #Semporna #tentera #TLDM
;