Mayat bayi perempuan membengkak dan membusuk ditemukan di batas sawah
Bernama
November 23, 2021 18:46 MYT
November 23, 2021 18:46 MYT
BAGAN SERAI: Mayat bayi perempuan ditemukan dalam keadaan membengkak dan membusuk di batas sawah padi berhampiran Lorong Taman Serai Muda ke Kampung Padri di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat berkata mayat bayi yang tidak berbaju dan dianggarkan berusia sembilan bulan itu, ditemukan seorang pesawah lelaki yang juga pemilik tanah tersebut pada jam 8.30 pagi.
Katanya polis tidak menemukan sebarang dokumen atau kain balutan di lokasi kejadian dan organ dalaman mayat itu didapati telah hancur.
"Setakat ini punca kematian bayi itu tidak dapat dipastikan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mazuki berkata kali terakhir pemilik tanah itu melalui kawasan berkenaan ialah sekitar jam 4.30 petang kelmarin untuk menjalankan kerja-kerja membaja, namun tidak terlihat mayat tersebut.
Mayat itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran seorang bayi dan membuang mayat.
-- BERNAMA