Mayat bayi perempuan dijumpai dalam hostel kolej swasta

Bernama
Ogos 17, 2016 08:00 MYT
Bungkusan beg plastik yang berisi mayat bayi perempuan itu disimpan di dalam loker bilik suspek dan rakan sebilik suspek menemukan mayat bayi itu hari ini (Selasa). - Gambar fail
Polis menemui mayat bayi perempuan di dalam hostel, sebuah kolej swasta di Seremban, di sini pada Selasa, kata Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun.
Beliau berkata sepasukan polis forensik bergegas ke hostel terbabit sebaik menerima maklumat kira-kira 2 petang Selasa.
"Terdahulu, pihak polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar menyatakan terdapat seorang pesakit perempuan berusia 22 tahun mengalami pendarahan akibat keguguran.
"Pesakit ini merupakan pelajar sebuah kolej swasta dan didapati masih belum berkahwin," katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya soal siasat ke atas pesakit itu membawa kepada penemuan bayi perempuan yang telah disembunyikan suspek dengan balutan tuala dan diletakkan di dalam beg plastik.
Bungkusan beg plastik yang berisi mayat bayi perempuan itu disimpan di dalam loker bilik suspek dan rakan sebilik suspek menemukan mayat bayi itu hari ini (Selasa), katanya.
Berdasarkan keterangan awal suspek kepada pihak hospital, dia memaklumkan mengalami sakit perut yang teruk semalam dan juga berlaku pendarahan.
Suspek dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar oleh rakan sebiliknya yang menyangkakan suspek menghidap apendiks. Rakan sebilik suspek tidak mengetahui yang suspek mengandung sebelum ini.
"Suspek mengaku memotong sendiri tali pusat bayinya dan bersalin di dalam tandas bilik, awal pagi Isnin. Tali pusat yang dipotong suspek, dibuang dalam mangkuk tandas.
"Suspek mengaku pernah mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya sejak Disember 2015. Kes ini masih dalam siasatan," katanya.
Muhamad Zaki berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
#bayi #kolej swasta #mati #Muhamad Zaki Harun
;