Mayat bayi lelaki ditemukan dalam tangki pam tandas Hospital Tawau
Bernama
Oktober 15, 2023 14:35 MYT
Oktober 15, 2023 14:35 MYT
TAWAU: Mayat bayi lelaki masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemukan di dalam tangki pam tandas di Hospital Tawau di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata mayat bayi berkenaan dijumpai oleh pekerja pembersihan yang ketika itu membuat kerja-kerja pembersihan di dalam tandas awam wanita di wad kecemasan hospital itu pada 7.10 pagi.
"Saya mengesahkan pihak polis menerima satu laporan pada 8.09 pagi hari yang sama berhubung penemuan bayi lelaki meninggal dunia di dalam pam tandas hospital berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jasmin berkata pihak polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
"Siasatan lanjut sedang dilakukan berhubung kes ini," katanya.
-- BERNAMA