Mayat bayi ditemui tertanam depan rumah di Ipoh
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 28, 2024 15:42 MYT
Ogos 28, 2024 15:42 MYT
IPOH: Seorang penyewa terkejut apabila terjumpa mayat bayi yang dibaluti kain sarung tertanam di hadapan rumah yang bakal didiaminya di Taman Sri Rokam, Ipoh pada Rabu.
Mayat itu ditemui kira-kira jam 11 pagi ketika pengadu sedang membuat kerja-kerja baik pulih rumah berkenaan.
Astro AWANI difahamkan pengadu telah mengorek tanah untuk menyimen semula lantai di tempat letak kereta, sebelum terjumpa cebisan kain sarung.
Pengadu dikatakan telah menarik kain tersebut dan menemui mayat bayi di sebalik kain itu.
Pengadu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat, sekitar jam 12 tengah hari.
Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan polis dan maklumat lanjut mengenai penemuan itu.