Mayat bayi ditemui dalam tandas

Astro Awani
Februari 12, 2017 17:33 MYT
Mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di dalam tandas sebuah warung di Pantai Tanjung Asam, Teluk Kumbar. - Gambar Astro AWANI
Mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di dalam tandas sebuah warung di Pantai Tanjung Asam, Teluk Kumbar, Bayan Lepas, pagi tadi.
Mayat bayi itu yang cukup sifat itu ditemui seorang wanita kira-kira jam 9.30 pagi ketika mahu menggunakan tandas tersebut sebelum bertindak menghubungi polis.
Ketika ditemui, mayat bayi yang masih bertali pusat itu berada di atas lantai tandas dalam keadaan meringkuk manakala terdapat uri di sebelahnya.
Menurut pemilik warung, Shara Effa Che Omar, beliau terkejut selepas dimaklumkan oleh adiknya berhubung penemuan mayat bayi di dalam tandas warung milik mereka.
Katanya, bayi tersebut ditemui seorang wanita yang sedang melakukan aktiviti perkhemahan di kawasan berhampiran dan merupakan kejadian pertama yang berlaku di kawasan itu.
"Masa saya bangun tadi, adik telefon kata ada orang jumpa bayi dalam tandas ini, tetapi semalam kami sudah bersihkan tandas selepas kami balik dalam pukul 12 malam macam itu.
"Selepas selesai semua kerja, kami balik, tiba-tiba dengar pagi ini tidak boleh buka tandas sebab dalam itu ada mayat bayi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Shara Effa, tandas di warungnya tidak pernah dikunci bagi membolehkan orang ramai terutamanya pemancing menggunakannya.
Mayat bayi berkenaan kemudiannya di bawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Barat Daya, Suprintendan Anuar Omar berkata, mengesahkan kejadian tersebut dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi polis bagi membantu siasatan.
#bayi #pantai tanjung asam #Shara Effa Che Omar
;