Mayat bayi ditemui dalam loji kumbahan kolej swasta

Astro Awani
Januari 14, 2016 19:33 MYT
Mayat bayi yang dijumpai. Ia dipercayai mayat bayi ini keluar melalui lubang saluran kumbahan yang datang dari tandas asrama kolej berkenaan. - Astro AWANI
Polis Terengganu sedang giat menjalan siasatan berikutan penemuan mayat bayi yang masih bertali pusat terapung dalam loji kumbahan sebuah kolej swasta di Setiu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata mayat bayi perempuan berkenaan dijumpai kira-kira pukul 3.30 petang Selasa oleh seorang pekerja kontrak pembersihan.
Menurut Wan Abd Aziz, berdasarkan kepada keadaan mayat, pihaknya percaya bayi yang cukup sifat itu berada di dalam tangki berkenaan dalam tempoh 48 jam.
"Setelah pemeriksaan ke atas bayi itu, kita dapat bayi tersebut masih sempurna. Bayi fizikalnya sempurna, hanya terdapat sedikit kecederaan di bahagian lengan dan peha kiri. Kita percaya kemungkinan kecederaan ni akibat berada dalam saluran air ini.
"Kita juga percaya mayat bayi ini keluar melalui lubang saluran kumbahan yang datang dari tandas asrama berkenaan, makna dia flush tandas tu dan masuk ke dalam kumbahan," kata Wan Abd Aziz pada sidang media di Kuala Terengganu hari ini.
Beliau berkata mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai, klinik kesihatan dan hospital yang menerima pesakit dalam keadaan mencurigakan tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
#buang bayi #buang bayi dalam loji #kolej swasta #mayat bayi
;