Mayat bayi dilumur garam: Kecederaan di kepala mungkin akibat hentakan
Bernama
Oktober 14, 2020 17:06 MYT
Oktober 14, 2020 17:06 MYT
KOTA BHARU: Bayi lelaki lapan bulan yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dengan badannya dilumur garam dalam guni di bahagian dapur sebuah rumah, mengalami kecederaan di kepala yang berkemungkinan akibat hentakan atau terjatuh.
Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata ia berdasarkan hasil bedah siasat mangsa yang selesai dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, pada 4 pagi tadi.
Semalam polis menemui mayat bayi berkenaan yang dipercayai dibunuh oleh bapa kandungnya di Kampung Sungai Dua, Melawi di sini. Polis kemudian menahan bapa bayi itu yang bekerja kampung untuk siasatan lanjut.
Shafien berkata polis tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dalam ajaran sesat berdasarkan kepada cara bayi itu dibunuh, malah suspek dikatakan mendengar ‘suara malaikat’ sebelum membunuh anaknya dan seolah-olah berhalusinasi.
"Sehingga kini suspek berusia 40 tahun itu tidak bercakap untuk diambil keterangan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Ibu bayi itu yang berusia 32 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan dan setakat ini, wanita berkenaan masih dirawat di hospital memandangkan keadaannya yang masih trauma.
Shafien berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan polis menunggu keputusan laporan kimia sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebaliknya.
“Ujian air kencing yang dilakukan terhadap pasangan suami isteri berkenaan juga negatif penggunaan dadah,” katanya.
#bayi
#bayi dilumur garam
#mayat bayi
#Kelantan
#Bapa kandung
#ajaran sesat
#mental
#mendengar suara
#dengar bisikan