Mayat bayi dalam perigi: Bapa saudara suspek utama - polis

Astro Awani
Ogos 1, 2017 17:32 MYT
Polis akan merujuk kepada pihak hospital bagi memastikan tahap keseriusan sakit mental yang dihidapi suspek dan tidak menolak kemungkinan pembunuhan ini turut dilakukan lima individu itu. - Gambar hiasan
Bapa saudara kepada bayi lelaki yang ditemui mati di dalam perigi di Kampung On Lok, Batang Melaka, Jasin dekat sini 23 Julai lalu, dipercayai merupakan suspek utama kes berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, suspek yang merupakan antara enam individu yang dalam tahanan reman ketika ini, mempunyai rekod kesihatan penyakit mental.
Katanya, berdasarkan pengakuan lisan, lelaki berusia 28 tahun terbabit mengakui terlibat secara langsung dengan pembunuhan bayi malang itu.
Bagaimanapun, katanya pada satu sidang media hari ini, siasatan terperinci terhadap lima individu bersaudara selain lelaki itu, yang ditahan sebelum ini, masih diteruskan.
Jelas Abdul Jalil, polis akan merujuk kepada pihak hospital bagi memastikan tahap keseriusan sakit mental yang dihidapi suspek dan tidak menolak kemungkinan pembunuhan ini turut dilakukan lima individu terbabit.
BACA: Mayat bayi dalam perigi: Reman enam sekeluarga dilanjutkan hingga 6 Ogos
BACA: Bayi mungkin masih hidup ketika dicampak dalam perigi - Polis
Bercakap di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat secara terperinci sama ada tindakan yang dilakukan suspek utama berkenaan dihasut oleh orang lain atau disebabkan penyakitnya semata-mata.
Pada kejadian itu, seorang bayi lelaki berusia enam hari ditemui mati di dalam perigi sedalam 20 kaki, disyaki dibunuh ahli keluarga sendiri.
Mayat bayi sempurna fizikal dan masih berbalut kain lampin putih itu ditemui orang awam sebelum dikeluarkan dari perigi dengan bantuan anggota Bomba Dan Penyelamat Balai Jasin Bistari, kira-kira jam 10.30 malam.
BACA: Enam sekeluarga direman bantu siasatan kes bayi ditemui mati dalam perigi
BACA: Mayat bayi enam hari dipercayai dibunuh ditemui dalam perigi
Enam individu berusia 16 hingga 30 tahun, termasuk ibu dan bapa bayi malang itu, kemudiannya ditahan dan direman bermula 24 Julai hingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
#Abdul Jalil Hassan #bayi #mayat #perigi #polis #suspek
;