Mayat bayi bawah lantai simen: Polis kesan penyewa wanita Indonesia

Bernama
Ogos 28, 2024 22:17 MYT
Seorang lelaki membuat laporan terjumpa mayat bayi di bawah lantai simen ketika mahu mengubah suai rumah yang baru disewanya. - Orang awam via Sinar Harian
IPOH: Polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang pernah menyewa di rumah tempat penemuan mayat bayi di bawah lantai simen, di Taman Sri Rokam, Jalan Pasar, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata berdasarkan penerangan pemilik rumah berkenaan, rumah itu disewakan sejak tiga tahun lepas kepada seorang wanita warga Indonesia dengan bayaran RM400 sebulan namun wanita itu telah melarikan diri sejak sebulan lalu.
"Pemilik rumah tinggal selang sebuah rumah dari rumah sewanya dan nampak perempuan Indonesia itu mengandung serta akan mengutip sewa setiap bulan memandangkan penyewa membayar secara tunai," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi, seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun membuat laporan terjumpa mayat bayi di bawah lantai simen ketika mahu mengubah suai rumah yang baru disewanya itu.
Abang Zainal berkata, ketika mengorek simen ruang tempat letak kereta, lelaki itu menjumpai cebisan kain sarung dan menjumpai jasad kecil itu di dalam kain tersebut.
Beliau berkata berdasarkan keterangan pakar patologi Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, mayat bayi perempuan itu tidak mempunyai sebarang kecederaan.
"Bayi itu dipercayai berumur tujuh bulan ketika dilahirkan, manakala bedah siasat ke atas mayat akan dilakukan esok," katanya.
-- BERNAMA
#mayat bayi bawah lantai #lantai disimen #penyewa #polis #wanita indonesia