Mayat bapa mangsa tragedi jet ski ditemukan

Sinar Harian
Mei 16, 2021 09:02 MYT
Mayat Mohd Zamizi ditutup kain putih selepas ditemui dan dibawa naik ke darat pada Sabtu. -Foto Sinar Harian
BACHOK: Mayat lelaki yang dipercayai lemas bersama anak lelakinya di Sungai Pengkalan Baru, di sini selepas mencuba jet ski baru akhirnya ditemukan kira-kira jam 10.35 malam Sabtu.
Mayat mangsa, Mohd Zamizi Hashim, 37, ditemui orang awam kira-kira 50 meter dari lokasi mayat anaknya, Firas Naufal Mohd Zamizi, 4, ditemukan 9.04 pagi Sabtu.
BACA: Mayat kanak-kanak hilang ketika main jet ski ditemui
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata mayat mangsa ditemui terapung di permukaan sungai yang berkedalaman 5.6 meter.
“Mangsa dibawa menaiki bot bomba ke Pengkalan Baru untuk diserahkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bachok serta empat Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu itu ditamatkan pada jam 10.49 malam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Derah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat Mohd Zamizi.
“Mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.
“Setakat ini, mangsa maut dipercayai akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan peniaga gerai makan di Pantai Irama tersebut bersama lima ahli keluarga termasuk ibu bapa mentua, isteri, Suzila Yahya, 36, dan anak mereka, Rania Afina,8, serta beberapa rakan ke sungai berkenaan bagi menguji dua jet ski baru dibeli mangsa.
Mangsa yang amat meminati sukan itu menaiki jet ski bersama anaknya dan dipercayai lemas dalam kejadian jam 4.30 petang.
Artikel asal di Sinar Harian: Mayat bapa tragedi jet ski ditemui
#jet ski #Sungai Pengkalan Baru #Mohd Zamizi Hashim #Firas Naufal Mohd Zamizi #Yus Heary Mahmud #SAR #PPDA #Mohamad Ismail Jamaluddin
;