Mayat awak-awak warga Thailand yang hilang di Pulau Bidan ditemukan
Bernama
Mei 13, 2023 13:00 MYT
Mei 13, 2023 13:00 MYT
ALOR SETAR: Mayat awak-awak bot nelayan warganegara Thailand yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut petang Khamis lepas, ditemukan hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata mayat dijumpai pada 8.30 pagi tadi dengan lengkap berpakaian di kedudukan 2.0 batu nautika dari Pulau Bidan, Yan.
"Mayat dibawa ke Jeti Sungai Udang Yan dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut. Operasi Mencari dan Menyelamat ditamatkan pada pukul 10.30 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Awak-awak warganegara Thailand Donbagee Tingsa, 33, dipercayai terjatuh dari sebuah bot nelayan ketika sedang memukat bilis di Pulau Bidan dekat Yan pada 2.25 petang, Khamis.
Kejadian disedari tekong bot apabila mendapati mangsa tiada di atas bot sebelum usaha mencari dilakukan bersama Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan beberapa bot nelayan tempatan.
Sementara itu, Noor Azreyanti mengingatkan orang ramai yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).
"Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerusi talian 04-7310579," katanya.
-- BERNAMA