Mayat awak-awak bot karam di Bachok ditemui

Muhafandi Muhamad
Julai 5, 2020 16:35 MYT
Mayat Che Wadi Bakar, 44, ditemui sekumpulan nelayan yang sedang menangkap ikan, kira-kira 37 batu nautika dari Kuala Kemasin. - Gambar fail
Selepas seminggu tragedi bot terbalik di perairan Kemasin, mayat awak-awak bot yang dikenali sebagai Che Wadi Bakar, 44, ditemui pada pukul 11 pagi tadi.
Mayat mangsa ditemui sekumpulan nelayan yang sedang menangkap ikan, kira-kira 37 batu nautika dari Kuala Kemasin.
Jasad berkenaan dipercayai milik Che Wadi berdasarkan pengecaman awal oleh keluarganya, berdasarkan pakaian yang dipakai sebelum turun ke laut.
Mayat ditemui sekitar 19.2 batu nautika dari mayat ke-enam, Harun Daud, 57, yang ditemui dua hari lalu.
Dalam kejadian 8.00 malam 29 Jun lepas lepas itu, bot dinaiki mereka dikatakan terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin.
BACA: Insiden bot karam: Waris harap mangsa masih hilang ditemui segera
Sehingga hari ini, 12 pemancing ditemui selamat, tujuh meninggal dunia, dan seorang lagi masih sedang dikesan iaitu Arman Ismail, 43.
Selain Che Wadi, enam mangsa yang sudah ditemukan sebelum ini ialah Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Husin, 60-an, seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an, Ahmad Syafiq Che Alim, 30 dan Harun Daud, 60-an.
#bot karam #Kuala Kemasin #mangsa #meninggal dunia #tragedi
;