Mayat anggota polis dan anak lemas ditemui
Astro Awani
Januari 5, 2014 20:55 MYT
Januari 5, 2014 20:55 MYT
Mayat dua beranak yang lemas di Sungai Kerian, Tanjong Berembang ditemui petang dan tengahari tadi.
Mangsa, anggota polis Koperal Halim Ibrahim ditemui kira-kira jam 5.40 petang tadi oleh Pasukan Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Mayat Halim ditemui terapung dan berpakaian lengkap 100 meter dari lokasi anaknya ditemui jam 12.45 tengahari tadi.
Mayat Mohd Halif Akim Halim setahun sepuluh bulan ditemui terapung kira-kira 400 meter dari tempat beliau terjatuh dari bot milik bapanya, Koperal Halim Ibrahim petang semalam.
Kedua-dua jenazah di hantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.
Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan islam tanjong berembang ,nibong tebal malam ini.
Dalam kejadian jam 6petang semalam, Koperal Halim, 52 tahun bersama isterinya, Koperal Waridah Muaing, 33 tahun dan dua anak mereka Noramira 5 tahun dan Mohd Halif Akim setahun 10 bulan dikatakan menaiki bot untuk memancing.
Malangnya, anaknya terjatuh selepas bot terumbang ambing akibat arus deras.
Mangsa cuba menyelamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam sungai bagaimanapun gagal ekoran arus deras.
Sementara itu, ibu Halim, Siti Fatimah 72 tahun berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan kejadian itu.
Fatimah berkata kali terakhir dia bertemu anak dan cucunya petang semalam sebelum mereka sekeluarga keluar ke sungai.
Terdahulu Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi yang hadir ke lokasi kejadian berkata, Halim terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya namun kedua mereka tidak timbul.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dalam kawasan perimeter seluas lima kilometer dari tempat mangsa jatuh.
Seramai 95 anggota penyelamat membabitkan Jabatan Pertahanan Awam, polis, bomba sukarela dan orang kampung terlibat dalam operasi menyelamat.
Isteri mangsa yang berada dilokasi enggan ditemuramah media.