Mayat anak kapal warga Indonesia yang lemas ditemui
Bernama
November 23, 2012 10:51 MYT
November 23, 2012 10:51 MYT
Mayat seorang anak kapal warga Indonesia yang lemas ketika menangkap ikan di perairan berhampiran Pulau Tiga Labuk Bay dekat Sandakan pada Isnin lepas ditemui semalam.
Mayat Akis Hanaping, 40, ditemui terapung oleh nelayan pada 8.30 pagi di perairan antara Pulau Selingan dan Pulau Bakungan Kecil.
Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan Komander Maritim Raziee Keding berkata Akis yang merupakan anak kapal sebuah kapal nelayan terjatuh ke laut di kawasan perairan antara Pulau Tikus dan Pulau Tatabuan kira-kira 7 pagi.
Operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sejak Isnin lepas sebaik menerima laporan kehilangan mangsa, katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya operasi mencari itu turut mendapat bantuan anggota keluarga mangsa dan penduduk kampung berhampiran kawasan mangsa dilaporkan hilang.
Dalam pada itu, Raziee menasihatkan semua komuniti maritim agar dapat menitikberatkan aspek keselamatan memandangkan keadaan cuaca sekarang yang kurang baik.