Mayat Ami Azzizol yang lemas di Tasik Kenyir ditemukan pagi ini

Nur Fazlizai Ali
Mac 30, 2021 10:05 MYT
Mayat mangsa dikeluarkan dari Tasik Kenyir oleh pihak bomba. - Foto JBPM Terengganu
HULU TERENGGANU: Pengantin baru yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir, di sini, Sabtu lalu, ditemui mati lemas pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Ab Rashid berkata, mayat Ami Azzizol Abu Bakri, 22 tahun, ditemui terapung kira-kira jam 7.10 pagi.
Mangsa ditemui terapung sekitar jarak 1.5 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian pada pukul 5.50 petang Sabtu lepas, mangsa yang baru seminggu melangsungkan perkahwinan, dikatakan telah mengalami kekejangan otot ketika berenang di Sungai Petuang, Jeram Harimau.
Kejadian itu turut disaksikan isteri, sepupu dan anak pemilik rumah rakit yang disewa mereka sekeluarga.
BACA: Pengantin baharu dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir
Terdahulu, mangsa bersama 15 ahli keluarganya tiba di rumah rakit itu sekitar jam 3 petang sebelum dia dilaporkan hilang.
Sementara itu, Bernama memetik Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, mayat Ami Azzizol ditemukan seorang pengusaha chalet rumah rakit.
"Pengusaha chalet rumah rakit tersebut bertindak memaklumkan penemuan mangsa kepada pasukan Polis Marin yang meronda di kawasan berhampiran sebelum mayat mangsa dikeluarkan (dari tasik) oleh pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan.
#mayat #mangsa #lemas #Pengantin #Kuala Berang #rumah rakit #Tasik Kenyir #chalet #Mohd Adli Mat Daud #Hulu Terengganu #kekejangan otot #pengantin baru #Md Hilman Ab Rashid #polis #bomba #Ami Azzizol Abu Bakri
;