Maya Karin lawat PPV WTCKL, kagum dengan kecekapan dan profesionalisme petugas
Astro Awani
Januari 23, 2022 14:53 MYT
Januari 23, 2022 14:53 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan jadualnya, selebriti popular, Maya Karin sempat meluangkan masa melawat Pemberian Vaksin Integrasi World Trade Centre Kuala Lumpur (PPV Integrasi WTCKL) baru-baru ini.
Kehadiran aktres itu turut disambut Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim yang berpendapat kehadiran beliau memberikan kesan positif kepada program vaksinasi negara.
Menurutnya, kemunculan pelakon tersebut pastinya merupakan satu bentuk sokongan dan sekali gus dapat lebih ramai rakyat Malaysia untuk mendaftar dan mengambil suntikan dos penggalak COVID-19.
“Beliau telah melihat suasana proses pemberian vaksin dan beliau kagum dengan kecekapan dan profesionalisme petugas-petugas dan sukarelawan di sini.
“Maya Karin juga sempat meluangkan masa bertemu dengan petugas dan sukarelawan serta sempat photobomb bersama penerima vaksin di sini.
“Saya juga mengambil kesempatan menerangkan peranan saya selaku Pengerusi Persidangan & Pameran (C&E), Majlis Penasihat Anggota (MAC) World Trade Centre Associations (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook beliau pada Ahad.
Jelas Irmohizam, WTCA mempunyai 320 rangkaian seluruh dunia dan misinya adalah untuk merancakkan industri dan Acara Perniagaan.
“Sudah pasti saya berhasrat untuk menjadikan WTCKL sebagai hub Acara Perniagaan (BE) terunggul di Malaysia,” ujarnya.