Maya Hejnowska dimahkota ratu Unduk Ngadau Kaamatan 2021
Ruzaini Zulkepli, Abdul Hafiz Mustadi
Mei 31, 2021 18:00 MYT
Mei 31, 2021 18:00 MYT
KOTA KINABALU: Bijak menguruskan masa antara pelajaran di universiti dengan aktiviti Unduk Ngadau 2021 merupakan cabaran besar buat gadis kacukan Kadazan-Poland ini.
Kecekalan dan semangat itu nampaknya tidak sia-sia apabila peserta Unduk Ngadau mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Maya Hejnowska dimahkota ratu Unduk Ngadau peringkat negeri 2021.
"Syukur kepada tuhan sebab tersenarai dalam Top 21. Bila sudah tersenarai itu cabarannya bermula apabila saya ada tugasan dan peperiksaan peringkat universiti.
"Saya bergelut juga masa itu. Saya perlu bijak menguruskan masa agar emosi saya tidak terganggu. Syukur semuanya berjalan lancar dan dinobat ratu pula," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Dewan KDCA, Penampang pada Isnin.
Walaupun menganggap klise, tetapi anak kedua dari tiga beradik itu tidak menyangka akan dipilih sebagai ratu Unduk Ngadau 2021.
Malah, ketabahan ibu selain sokongan dan restu disifatkan penyumbang kepada keyakinan dirinya hingga berjaya.
"Ibu saya sangat cekal. Dia wanita hebat. Dia membesarkan saya dan adik beradik yang lain. Dia tidak pernah mengeluh atau mengadu. Semua dibuatnya dengan terbaik.
"Apabila saya di atas pentas dan nampak dia saya rasa mahu menangis," katanya.
Maya menewaskan 21 finalis sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM66,830.
Manakala, tempat kedua dimenangi oleh peserta mewakili DUN Paginatan, Dianarin Vahidin yang membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM45,280; sementara tempat ketiga dimenangi oleh Febby Angelica yang mewakili DUN Kundasang yang membawa pulang hadiah keseluruhan RM32,980.