Maxis sekali lagi raih Anugerah Iklan Terbaik
Afza Fahmidah
Disember 11, 2017 14:52 MYT
Disember 11, 2017 14:52 MYT
Iklan 'Buatan Malaysia' oleh syarikat telekomunikasi Maxis telah dinobatkan sebagai iklan terbaik 2017 di YouTube Ads Awards Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.
Ini merupakan kali kedua Maxis merangkul anugerah berprestij itu selepas memenangi anugerah yang sama tahun lepas.
Iklan yang ditayangkan sempena Hari Kebangsaan tersebut telah meraih hampir sejuta penonton dalam tempoh kurang 4 bulan sejak dimuat naik di platform video popular YouTube.
Iklan atau filem pendek berdurasi 3 minit 50 saat itu menyingkap keajaiban Malaysia dengan menerokai tarikan-tarikan yang ada tanpa perlu melancong ke luar negara.
"Kami rasa kami harus ukir sebuah cerita yang indah tentang kepercayaan kami terhadap Malaysia. Kami cuba menyajikan cerita tentang Malaysia yang jarang didengari," ujar Norman Tang dari agensi Ensemble Worldwide yang mengepalai pembikinan video tersebut untuk Maxis.
Menurut Tang lagi, video tersebut merupakan sumbangannya kepada Malaysia, tanah tumpah darahnya.
Sementara itu, YouTube Malaysia turut mengiktiraf pencipta-pencipta kandungan yang mempunyai 100,000 atau lebih pengikut di saluran mereka.
Pencipta kandungan Joanna Soh telah dianugerahkan Butang YouTube Play Emas kerana telah mencapai bilangan pengikut mencecah 1 juta orang manakala tiga lagi pencipta kandungan dianugerahkan Butang YouTube Play Perak kerana telah meraih 100,000 dan lebih pengikut.
Antaranya ialah Aisha Liyana yang berjaya mengutip lebih daripada 108,000 pengikut dalam tempoh 17 bulan.
Menurut Aisha, pencapaian ini adalah di luar jangkaannya dan beliau rasakan semuanya berlaku dengan begitu pantas.
"Ramai pengikut saya terdiri daripada pemakai hijab dari luar negara. Mereka mengikut saya kerana mereka tidak jumpa kandungan tentang kecantikan oleh vlogger berhijab di negara mereka.
"Mereka rasakan video-video saya sangat dekat di hati mereka," katanya ketika ditanya tentang pengikut-pengikutnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Google Malaysia, Vietnam, Filipina dan pasaran-pasaran baharu Sajith Sivanandan berkata, YouTube Ads Awards Malaysia diadakan untuk meraikan bakat dan karya kreatif iklan yang ditayangkan di YouTube.
Oleh itu, dua kategori anugerah baharu diperkenalkan tahun ini, iaitu Anugerah Iklan Bumper Terbaik dan Anugerah Kempen Multi-video Terbaik, di samping lapan kategori anugerah yang sedia ada termasuk anugerah keseluruhan, iaitu Anugerah Iklan Terbaik.
"Karya-karya diadili berdasarkan beberapa garis pandu. Pertama, video-video ini perlulah kuat dalam penyampaian emosi kepada penonton.
"Kedua, ia haruslah menjadi bahan yang ingin dikongsi oleh penonton kepada masyarakat sekeliling dan akhir sekali, lima saat pertama sesebuah video perlulah menarik perhatian penonton,'' ujar Sivanandan lagi.
YouTube Ads Awards Malaysia merupakan sebuah acara tahunan yang dikendalikan oleh Google Malaysia dan telah diadakan buat kali kedua di negara ini selepas acara sulungnya tahun lepas.
Berikut merupakan senarai pemenang bagi setiap kategori:
1. Kewangan
- Visa - Visa paywave Magic Beep oleh Optimedia, Performics dan BBDO
2. Pelancongan
- Cathay Pacific - The Sounds of Travelling Well oleh McCann Erickson dan Universal McCann
3. Teknologi & Telekomunikasi
- Maxis-Buatan Malaysia oleh Ensemble Worldwide, IPG dan APD
4. Produk Pengguna
- Nivea - #YAKINBROMOMEN oleh OMD, FCB, Entropia dan DigitasLBI
5. Runcit dan Restoran
- McDonald's - My Spicy Love oleh Leo Burnett dan OMD
6. Iklan Bumper Terbaik
- Innisfree - #Multimasking Challenge oleh Wonderhoo
7. Pengenalan 5 Saat Terbaik
- 11street - Shop The World at 11street! oleh McCann Erickson dan Mojo Films
8. Kempen Multi-video Terbaik
- McDonald's - Spicy Korean Burger oleh Leo Burnett dan OMD
9. Iklan Format Panjang Terbaik
- KFC - KFC Bucket Sessions oleh Naga DDB dan Universal McCann
10. Iklan Terbaik
- Maxis-Buatan Malaysia oleh Ensemble Worldwide, IPG dan APD
#Ensemble Worldwide
#Google
#iklan
#Malaysia
#Maxis
#Maxis-Buatan Malaysia
#Norman Tang
#Sajith Sivanandan
#video
#YouTube
#YouTube Ads Awards Malaysia