Maxis perluas keupayaan canggih penyelesaian Enterprise dengan pengambilalihan Audeonet
Fareez Azman
Disember 3, 2020 19:59 MYT
Disember 3, 2020 19:59 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi Maxis Berhad mengumumkan pengambilalihan syarikat penyelesaian awan dan suara UC tempatan, Audeonet Malaysia Sdn Bhd.
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus, pengambilalihan melalui Maxis Business itu dijangka menjadikan Maxis sebagai Syarikat Penyelesaian Konvergen Terkemuka di Malaysia.
Menurut beliau, pengintegrasian Audeonet ke dalam Maxis merupakan pengambilalihan kedua syarikat tersebut selepas kejayaan mengambil alih Infrastructure Consulting & Managed Services (ICMS), sebuah syarikat Microsoft Gold Partner dan penyelesaian awam pada awal tahun ini.
"Tenaga kerja moden sudah berubah secara drastik bahkan sebelum COVID-19. Kerja jarak jauh menjadi pendekatan utama dan menjadikan kolaborasi dan komunikasi yang berkesan sebagai asas perniagaan untuk menjadi produktif.
"Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Audeonet. Kepakaran teknikal mereka dan perkongsian utama dengan penyedia suara di premis dan telefoni Awan akan memperkukuhkan perkhidmatan dan penawaran kami untuk pelanggan perusahaan.
"Ini sejajar dengan strategi konvergen yang lebih meluas dan komitmen kami untuk membawa teknologi terbaik untuk membolehkan perniagaan dan negara terus menerajui dalam dunia yang berubah,” kata Paul McManus dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, pengembangan kemampuan UC dan suara Maxis akan memberi akses kepada pelanggan perusahaannya ke rangkaian penawaran produk terkemuka industri dan meningkatkan transformasi digital mereka untuk persekitaran kerja yang produktif di premis mahupun jarak jauh dengan kos yang menjimatkan.
Pengambilalihan ini juga, kata McManus, akan menjadikan Maxis Business sebagai pengedar eksklusif Deltapath di Malaysia.
"Deltapath adalah penyedia global penyelesaian sistem telefoni Internet Protocol (VoIP). Maxis Business juga akan menjadi Penjual Emas Lifesize, menawarkan penyelesaian konferens video 4k berasaskan Awan.
"Penyelesaian baharu ini akan digabungkan dengan penawaran Maxis Business semasa dan disampaikan melalui rangkaian mudah alih dan tetap 4G terpadu di Malaysia untuk menyampaikan teknologi inovatif sambil memberikan pengalaman rangkaian tanpa rasa bimbang," katanya.
Bagaimanapun, nilai transaksi pemerolehan itu tidak dinyatakan.
#Maxis
#COVID-19
#Maxis Business
#Paul McManus
#Audeonet
#pengambilalihan
#kepakaran teknikal
#Malaysia