Maximus: TNB belanjakan lebih RM180 juta bersihkan Tasik Ringlet

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 31, 2013 08:00 MYT
Tenaga Nasional Berhad (TNB) membelanjakan lebih RM180 juta setiap lima tahun untuk membersihkan Tasik Ringlet dan kelodak sampah sarap.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili memberitahu, dari jumlah tersebut RM80 juta digunakan untuk pengorekan utama mendapan kelodak setiap lima tahun.
Sementara, RM20 juta lagi untuk kegunaan penyelenggaraan tahunan pengorekan mendapan kelodak.
"TNB mengeluarkan kira-kira 350,000 meter padu kelodak dari Tasik Ringlet dan aliran masuk ke tasik tersebut setiap tahun.
"Bagaimanapun ia masih tidak dapat mengatasi sepenuhnya pengumpulan mendapan kelodak yang dianggarkan pada 500,000 meter padu setahun," kata Maximus ketika ditemui selepas melawat Empangan Sultan Abu Bakar di sini.
Selain itu, RM300,000 dibelanjakan setiap tahun untuk permukaan dan dasar tasik dari sampah sarap yang mencecah 200 metrik tan setahun.
"Semua ini meningkatkan kos operasi Empangan Sultan Abu Bakar yang mempunyai keupayaan penjanaan elektrik 100 megawatt sahaja," katanya.
Beliau turut melawat kawasan yang dilanda bencana berkenaan di Lembah Bertam.
Dalam pada itu, Maximus menegaskan jika perbuatan tidak bertanggungjawab pihak mencemar dan mengotorkan tasik dapat dibendung, perbelanjaan RM180 juta itu boleh digunakan untuk tujuan lebih berfaedah.
Tindakan segera perlu diambil bagi mengawal aktiviti pembangunan di hulu sungai yang bukan sahaja membolehkan empangan tersebut beroperasi dengan baik, malah memastikan banjir kilat di Lembah Bertam tidak berulang.
Justeru, beliau mencadangkan supaya rezab Sungai Bertam, Sungai Ringlet dan Sungai Habu segera dikembalikan seperti yang diwartakan.
"Pemantauan amalan pertanian yang baik juga perlu dibuat dengan berkesan bagi mengurangkan impak hakisan memasuki sungai dan Tasik Ringlet," katanya lagi.
Banjir lumpur yang melanda Lembah Bertam menyaksikan empat nyawa terkorban dengan seorang daripadanya meninggal dunia akibat serangan jantung.
Bencana turut mengakibatkan 80 buah rumah musnah dan lebih 100 kenderaan rosak teruk.
#Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili #Tasik Ringlet #Tenaga Nasional Berhad
;