MAVCOM siasat Suasa Airlines, buat laporan ke atas Monspace Sky Airlines

Astro Awani
Julai 25, 2016 19:53 MYT
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia berkata, tanpa ASP yang sah, Suasa Airlines tidak boleh mengendalikan perkhidmatan udara komersial.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sedang menyiasat Suasa Airlines Sdn Bhd kerana beroperasi tanpa permit perkhidmatan udara yang sah (ASP).
Pada masa sama, suruhanjaya itu turut membuat laporan polis ke atas Monspace Sky Airlines selepas ia mengelirukan orang ramai dengan memasarkan dirinya sebagai sebuah syarikat penerbangan walaupun tidak memiliki lesen perkhidmatan udara (ASL) atau ASP.
Dalam satu kenyataan hari ini, Mavcom berkata, dalam kes Suasa Airlines, syarikat itu telah memohon untuk mengendalikan penerbangan komersial dari Kuala Lumpur ke Langkawi pada 22 Julai, tetapi tidak diluluskan.
"Ia bagaimanapun terus beroperasi sebagai 'penerbangan demonstrasi' dan perkara ini sedang disiasat Mavcom," katanya.
Katanya, tanpa ASP yang sah, Suasa Airlines tidak boleh mengendalikan perkhidmatan udara komersial.
"Mavcom juga menasihatkan para pengguna supaya tidak membuat sebarang urusan penerbangan dengan Suasa Airlines dan Monspace Sky Airlines untuk memastikan mereka tidak berhadapan dengan masalah semasa membuat perjalanan," katanya.
Ditubuhkan pada 1 Mac 2016, Mavcom merupakan sebuah badan bebas yang mengawal selia hal-hal ekonomi dan komersil yang berkaitan dengan penerbangan awam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Sri Azharuddin Abd Rahman menjelaskan Suasa menerima ASP bersyarat pada 15 Disember, 2015.
“Berikutan itu, Suasa memohon kepada DCA untuk mendapatkan Sijil Pengendali Udara (AOC) pada 18 Januari, 2016," katanya dalam satu kenyataan berasingan.
“Selepas menjalankan satu audit dan pemeriksaan menyeluruh terhadap keupayaan teknikal Suasa, DCA mengeluarkan AOC itu pada 22 Julai, 2016.
“Seterusnya, Suasa perlu meneruskan dengan Mavcom bagi mendapatkan ASP penuh, yang mana sehingga kenyataan ini dikeluarkan, ia masih belum diberikan,” katanya.
Oleh itu, Azharuddin berkata, Suasa Airlines tidak sepatutnya menjalankan sebarang operasi pengangkutan udara komersial tanpa kelulusan AOC dan ASP.
Beliau berkata, DCA tidak mengeluarkan sebarang AOC, baik kepada Monspace Airlines mahupun kepada Monspace Sky Airlines.
“Bagaimanapun, kapalterbang SUASA Airlines ditandai dengan ‘Monspace SUASA Airlines’ dan www.monskyways.com.
“Dalam hal ini, DCA akan mengeluarkan satu arahan menuntut SUASA Airlines menjelaskan perkara ini,” katanya.
#Suasa AIrlines Sdn Bhd #Suruhanjaya Penerbangan Malaysia
;