MAVCOM perlu teliti isu kelewatan penerbangan dengan serius - Ka Siong
Firdaus Azil
Mei 31, 2022 14:36 MYT
Mei 31, 2022 14:36 MYT
KUALA LUMPUR: Kelewatan penerbangan yang semakin kerap adalah sesuatu yang perlu dilihat dan ditangani Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dengan teliti, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, beliau mengambil maklum mengenai aduan lebih 500 penerbangan tertunda sewaktu musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
Tegasnya lagi, kerajaan hanya akan berkompromi jika penerbangan itu langsung tidak boleh dielakkan atas sebab cuaca, tetapi bukan dari segi kejuruteraan atau penyelenggaraan.
“Saya minta syarikat penerbangan ini jangan ambil mudah tentang kelewatan. Sekiranya sebab teknikal, kita tidak bertolak ansur, kita tak kompromi. Kalau dari segi engineering, sesuatu alat ganti belum lagi siap, atau faktor penyenggaraan, kita tak benarkan.
“Faktor cuaca, ya … ini memang kita faham kerana di luar kawalan. Tapi sebab mereka boleh mengatur dari awal sampai penerbangan akhir, dari permulaan pun sudah lewat, akhirnya semua lewat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas menghadiri Majlis Aidilfitri dan Apresiasi Media oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, di sini hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan 495 daripada lebih 6,000 penerbangan domestik sewaktu musim AIdilfitri merekodkan kelewatan lebih sejam.
Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif Mavcom Datuk Seri Saripuddin Kasim dipetik sebagai berkata, 119 penerbangan ditangguhkan kerana faktor operasi termasuk kekurangan pesawat siap sedia, perhentian malam tidak berjadual kerana waktu sah anak kapal, dan akibat tiba lewat.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, beliau sendiri melihat kelewatan penerbangan yang agak luar biasa, dan ia adalah sesuatu yang tidak boleh dijadikan sebagai budaya atau tabiat.
“Ada syarikat penerbangan saya nampak kelewatan agak luar biasa. Itu perlu kita ambil tindakan cepat. Sepatutnya (pihak) pengurusan perlu bagi tahu kepada pengguna lebih awal, dan sistem penjadualan perlu dilihat semula.
“Saya tidak mahu orang anggap itu budaya kita. Because Punctuality is very important. Kena jaga dan lindungi pengguna,” katanya lagi.