MAVCOM arahkan syarikat penerbangan serah data gangguan jadual penerbangan

Astro Awani
Mei 10, 2022 21:12 MYT
MAVCOM sedang memperhalusi MACPC untuk memperkemas serta menambahbaik lagi perlindungan pengguna, terutamanya dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelumnya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan untuk menyerahkan semua data berhubung gangguan jadual penerbangan sepanjang tempoh perayaan dari 29 April hingga 9 Mei lalu.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim data tersebut diperlukan untuk mendapatkan informasi yang objektif, tepat dan menyeluruh berkenaan isu tersebut.
Saripuddin menjelaskan, data yang dipohon ini termasuk informasi berkenaan penerbangan berjadual yang telah dirancang oleh semua syarikat penerbangan berbanding jumlah penerbangan yang dijadualkan semula yang telah berlangsung semasa tempoh perayaan tersebut.
"Di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) syarikat penerbangan dikehendaki untuk memaklumkan pengguna mengenai sebarang perubahan dalam status penerbangan secepat mungkin.
"Bagi penundaan penerbangan selama 2 jam atau lebih, syarikat penerbangan mesti menyediakan makanan serta memberikan pengguna akses kepada panggilan telefon serta internet.
"Di samping itu, bagi penundaan penerbangan selama 5 jam atau lebih, syarikat penerbangan harus menyediakan penginapan dan pengangkutan, jika diperlukan oleh pengguna.
"Jika masa penerbangan yang dijadualkan semula tidak memenuhi tujuan perjalanan pengguna, bayaran balik tiket penerbangan juga perlu dibuat oleh syarikat penerbangan," katanya.
Beliau juga menasihatkan pengguna agar mengemukakan aduan mereka kepada MAVCOM melalui laman web FlySmart di www.flysmart.my atau aplikasi mudah alih FlySmart bersama-sama dengan dokumentasi yang berkaitan untuk memudahkan penyiasatan.
“Pada masa yang sama, MAVCOM sedang memperhalusi MACPC untuk memperkemas serta menambahbaik lagi perlindungan pengguna, terutamanya dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelumnya.
“Isu ini merupakan perkara yang mendesak dan MAVCOM akan terus memastikan pemain industri kekal mematuhi MACPC dan hak-hak pengguna terus ditegakkan,” katanya lagi.
Saripuddin memaklumkan, MAVCOM mengambil keputusan tersebut selepas menerima pelbagai aduan berkaitan syarikat-syarikat penerbangan yang membuat perubahan secara sembarangan pada jadual penerbangan tanpa memberi notis yang mencukupi kepada pengguna.
#mavcom #MACPC #penerbangan #lewat #jadual #gangguan #rungutan
;