Maut tertembak senapang patah, datuk dan bapa saudara direman

Adie Sufian Zulkefli
Disember 14, 2017 05:56 MYT
Datuk dan bapa saudara mangsa direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- Foto Astro AWANi
Datuk dan bapa saudara kepada kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang maut terkena tembakan di Kampung Empa, Mukim Derang, Pokok Sena, Alor Setar, direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Alor Setar, Nor Azah Idris atas permohonan polis bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan..
Nor Azah membenarkan lelaki berusia 50 dan 15 tahun itu direman sehingga 20 disember ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kedua-dua suspek ditahan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk direkod keterangan.
Dalam kejadian semalam, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamuddin, 8, maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kiri kepala akibat terkena tembakan senapang patah.
Senapang patah itu dipercayai terjatuh dari rak almari dan menyebabkan picunya terbidik.
Peluru yang terlepas mengenai bahagian kepada kanak-kanak berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin memaklumkan mangsa maut akibat kecederaan parah pada bahagian kiri muka.
#Alor Setar #bapa saudara #cuai #Datuk #jenayah #Kanak-kanak #mahkamah #maut #moyang #peluru #pokok sena #polis #puteri intan sharini #senapang patah #senjata api #tembakan #tertembak