Maut ketika kutip bola golf
Bernama
Januari 31, 2018 22:41 MYT
Januari 31, 2018 22:41 MYT
Seorang lelaki yang bekerja sebagai pengutip bola golf di Samarahan Golf and Country Club di sini menemui ajal dipercayai akibat serangan jantung kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Joseph Meringgai Edward Ampan, 47, ditemui dalam keadaan terbaring sambil memegang jaring bola, oleh seorang rakan sekerjanya.
Sepasukan petugas perubatan daripada Institut Jantung Negara (IJN) yang berdekatan bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Isteri mangsa, Lina Reji, 39, berkata suaminya memang mempunyai masalah jantung dan mengadu sakit di bahagian dada sebelum keluar bekerja pada pukul 8 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Lee Chong Chern berkata tiada unsur jenayah atau kecederaan dikesan pada badan mangsa.
"Polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.
-- BERNAMA