Maut kena renjatan elektrik ketika menukang rumah

Sinar Harian
Disember 11, 2023 23:32 MYT
Hasrat seorang lelaki untuk menyiapkan aras atas rumahnya yang dibina sejak tiga tahun lalu tidak kesampaian apabila maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Tok Kaya, Labok pada Isnin. - Sinar Harian
MACHANG: Hasrat seorang lelaki untuk menyiapkan aras atas rumahnya yang dibina sejak tiga tahun lalu tidak kesampaian apabila maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Tok Kaya, Labok di sini pada Isnin.
Kejadian jam 5 petang itu berlaku semasa mangsa, Johari Tahar, 54, sedang melakukan kerja-kerja pertukangan bagi penambahan aras atas rumahnya sambil dibantu isteri.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati semasa sedang bertukang mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori telah memegang kerangka besi bumbung dan kemudian terkena renjatan elektrik.
"Ekoran itu, mangsa tidak sedarkan diri dan tergantung di bahagian bumbung.
"Terkejut dengan kejadian itu, isteri mangsa menjerit meminta pertolongan. Anak saudaranya yang berjiran dengan mangsa telah datang dan menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati wayar penyambung telah terkoyak dan telah bersentuhan dengan tetulang bumbung.
Ujarnya, semasa kejadian wayar tersebut disambungan dengan mesin gerudi bagi proses pertukangan di atas bumbung.
Mohd Adli memberitahu, kerja-kerja penambahan pada rumah tersebut telah berjalan sejak tiga tahun lalu oleh mangsa sendiri.
"Mangsa melakukan perkara itu selepas tamat waktu bekerja sebagai pemandu lori.
"Mayat mangsa berjaya dibawa turun dengan bantuan anggota JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) pada jam 7 malam," katanya.
Tambah beliau, lelaki itu disahkan telah meninggal dunia pada jam 7.05 malam oleh penolong pegawai perubatan Hospital Machang.
- Sinar Harian
#renjatan elektrik #menukang rumah #Kampung Tok Kaya #Johari Tahar
;