Maut ditikam suami: 'Arwah pernah lapor polis, terima ugutan bunuh sejak setahun lalu'
Sinar Harian
Jun 21, 2024 18:45 MYT
Jun 21, 2024 18:45 MYT
IPOH: Wanita yang maut dipercayai ditikam suami dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Batu Gajah pada Khamis pernah mengadu telah beberapa kali menerima ugutan jenayah termasuk bunuh.
Abang mangsa, Syahiran Shaharun, 34, berkata, perkara itu dihadapi Allahyarham sejak lebih setahun lalu selepas mengambil keputusan untuk bercerai, namun tidak dipersetujui oleh suaminya.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, adiknya, Nisya Syahkila Shaharun, 32, bukan sahaja digantung tidak bertali, malah sering menerima panggilan telefon, WhatsApp dan pesanan suara daripada suaminya yang melemparkan kata berunsur ugutan.
"Perbuatan suaminya itu menyebabkan adik saya hidup dalam ketakutan sampai satu tahap dia bimbang dengan apa yang akan berlaku dan takut sekiranya mati dibunuh suami.
"Tak sangka, apa yang ditakuti adik itu benar-benar terjadi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada enam beradik ada membuat laporan polis beberapa kali sebelum ini kerana bimbang keselamatan diri.
Katanya, kali terakhir Allahyarham membuat laporan polis sekitar Mei lepas yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit di Klang, Selangor, namun kes tidak dapat diteruskan kerana dikatakan tidak cukup bukti.
"Mereka berkahwin sekitar 2022 lalu dan itu merupakan perkahwinan kedua adik saya. Hasil perkahwinan pertama dahulu, adik saya dikurniakan anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun.
"Sewaktu mereka tinggal bersama di Kedah, arwah adik juga mengadu dia dan anaknya pernah dipukul suami.
"Keluarga cuba mencari jalan penyelesaian terbaik, tetapi tidak berjaya menyebabkan arwah ambil keputusan pulang ke kampung dan tinggal bersama ibu bapa kami di Batu Gajah sementara suaminya berpindah ke Klang dan bekerja di sana," katanya.
Syahiran berkata, pada hari kejadian Khamis, Allahyarham dan suami sepatutnya hadir ke Mahkamah Syariah bagi prosiding permohonan tuntutan cerai secara fasakh.
Ujar beliau, Allahyarham bersikap berani berjumpa suaminya kerana menyangka lelaki itu mahu berbaik dan setuju menyelesaikan penceraian mereka dengan cara baik.
"Mak pada mulanya melarang adik bertemu lelaki itu, tetapi arwah yakinkan bahawa semuanya akan baik-baik sahaja, malah pada sebelah pagi, dia sempat menghantar anaknya ke sekolah menaiki motosikal sebelum kembali menemui lelaki itu.
"Mungkin adik fikir ini kali terakhir kerana suaminya sebelum ini enggan hadir ke mahkamah walaupun telah berkali-kali diminta berbuat demikian," katanya sambil memaklumkan suami arwah kurang bergaul dengan keluarganya.
Syahiran berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham, namun sedikit terkilan kerana kejadian seumpama itu boleh dielakkan berlaku.
"Kami baru kehilangan ayah Januari lepas dan kini berdepan dengan satu lagi kehilangan ahli keluarga.
"Arwah seorang anak dan kakak yang baik kepada adik-adiknya. Dia juga banyak melakukan perubahan diri ke arah kebaikan.
"Status terakhir arwah di telefon sekitar jam 7 pagi semalam pun berkongsi mengenai hal-hal kematian seolah-olah mengetahui bahawa dia akan pergi," katanya.
Allahyarham Nisya Syahkila dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah selepas solat Asar sebaik proses bedah siasat selesai.
Suami mangsa berusia 37 tahun telah pun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian itu, jasad mangsa ditemui dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata pisau.
Polis memaklumkan, suspek dan mangsa hadir ke hotel itu secara berasingan, namun menginap di bilik yang sama sehari sebelum kejadian.
Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh walaupun telah dipujuk.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian