Maut disambar petir ketika pulang solat Jumaat

Abd Hadi Che Awang
Oktober 18, 2019 19:13 MYT
Menurut polis, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Astro AWANI
Seorang pengawal keselamatan maut dipercayai disambar petir ketika dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat di Kampung Hujung Alor, Alor Setar hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Norhafizan Salleh, 36 tahun yang baru pulang dari Masjid Taman Uda ditemui terbaring bersebelahan sawah padi bersama anaknya Mohd Haziq Norhafizan, 7 tahun yang turut cedera akibat kejadian terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Mohd Redzuan Salleh ketika dihubungi mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Jelasnya, berdasarkan maklumat, mangsa ditemui oleh sekumpulan penduduk kampung bersebelahan di kawasan sawah padi, manakala anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas mini tar berhampiran kawasan terbabit.
Tambah Redzuan, anak mangsa yang pengsan dan mengalami kecederaan kemudiaanya dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi mendapatkan rawatan.
Pihak polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes mati mengejut.
#Hospital Sultanah Bahiyah #mati mengejut #maut disambar petir #Mohd Haziq Norhafizan #Norhafizan Salleh #panah petir #pengawal keselamatan #Polis Daerah Kota Setar #pulang dari solat Jumaat
;