Maut dirempuh Myvi yang cuba elak kucing
Bernama
Januari 16, 2018 12:01 MYT
Januari 16, 2018 12:01 MYT
Seorang pengawal keselamatan yang juga orang kelainan upaya (OKU) maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai cuba mengelak kucing melintas.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Zundin Mahmood berkata kejadian pada 6.35 petang semalam di KM1, Jalan Temerloh-Gunung Senyum, Kuala Krau Temerloh itu menyebabkan mangsa Awang Zaki Ali, 50, yang cacat pendengaran maut serta-merta.
Anaknya, Nur Farrah Wahida, 18, juga OKU pekak dan bisu yang membonceng motosikal itu, patah kaki dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
"Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 26 tahun cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing yang melintas.
"Pemandu kereta telah memasuki laluan bertentangan, menyebabkan keretanya bertembung dengan motosikal yang dinaiki dua beranak itu secara berdepan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Zundin menambah semasa kejadian, dua beranak yang beralamat di Kampung Bangau Parit, Seberang Temerloh itu tidak memakai topi keledar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. -- Bernama