Maut dipukul dengan batang cangkul

Adie Sufian Zulkefli
Disember 8, 2021 12:41 MYT
Hanya kerana tidak diberi rokok dan duit, seorang penganggur sanggup hentak rakannya dengan batang cangkul. - Gambar ihsan PDRM
KANGAR: Kerana tidak memberi duit dan rokok, seorang lelaki tergamak menghentak rakannya dengan batang kayu cangkul sehingga mati di sebuah rumah di Jalan Abi Tok Hashim di sini, pada Selasa malam.
Kejadian sekitar pukul 10 malam itu disedari adik mangsa selepas suasana di rumah mangsa tiba-tiba senyap.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew berkata, polis yang menerima maklumat menemui mangsa berlumuran darah tidak sedarkan diri di rumahnya.
“Mangsa, Yeen Baai, 72, maut di tempat kejadian selepas dipercayai dipukul dengan batang kayu cangkul.
"Suspek berusia 34 tahun itu dipercayai datang ke rumah mangsa dan berada dalam keadaan mabuk memberitahu adik mangsa untuk melihat sendiri keadaan mangsa yang sedang berlumuran darah di kepala.
"Sebaik memasuki rumah abangnya, adik mangsa terkejut melihat keadaan abangnya terbaring di hadapan pintu bilik tidur dalam keadaan hanya memakai kain tanpa baju dan terdapat kesan darah pada bahagian kepala mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, suspek yang panik apabila melihatkan keadaan mangsa yang terbaring tidak sedarkan diri, terus berlari keluar dari rumah itu.
Suspek bagaimanapun ditahan di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa tidak lama selepas polis tiba.
Wari berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa dan suspek saling mengenali dan mangsa tinggal bersendirian di kediaman berkenaan sejak setahun yang lalu selepas isterinya meninggal dunia.
“Punca kejadian dipercayai disebabkan suspek cuba meminta duit dan rokok daripada mangsa.
"Suspek kerap datang ke rumah mangsa kerana ingin meminta rokok dan mangsa akan melayan suspek dengan membenarkannya masuk ke rumah untuk menghisap rokok bersama," katanya.
Jelas Wari Kiew, suspek seorang penganggur berasal Assam Kumbang, Taiping, Perak.
Hasil semakan rekod mendapati suspek pernah dua kali dihukum kerana kes mendatangkan kecederaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, siasatan lanjut di tempat kejadian menemui beg duit berwarna kelabu dipercayai milik mangsa berada di dalam laci bilik tidurnya.
Hasil pemeriksaan juga mendapati dompet mangsa tidak mempunyai wang wang namun telefon bimbit mangsa didapati hilang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#batang cangkul #penganggur hentak rakan #Jalan Abi Tok Hashim #Kangar
;