Maut balik hantar kuih ke rumah nenek

Bernama
Jun 24, 2015 19:00 MYT
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beris Kubur Besar pada pukul 3 petang tadi. - Gambar Fail
Seorang remaja maut akibat dirempuh kereta selepas menghantar kuih ke rumah neneknya di Kampung Sri Sentosa, Beris Kubur Besar di sini malam tadi.
Motosikal yang ditunggang Mohamad Amirul Shariff Kamsan, 16, dilapor dirempuh dalam kejadian 7.45 malam itu ketika dia dalam perjalanan pulang dari rumah neneknya, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
Ibunya Norliza Ismail, 46, berkata beliau diberitahu mengenai kemalangan itu kira-kira lima minit sebelum waktu berbuka dan segera ke tempat kejadian.
"Sebaik saya tiba di tempat kejadian, saya dapati arwah anak saya dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' dan saya sempat memohon maaf dan memaafkan kesalahannya.
"Sebaik habis azan maghrib, arwah menghembuskan nafas terakhirnya," katanya.
Menceritakan perangai pelik anaknya sebelum kemalangan, Norliza berkata seminggu sebelum ini, anaknya yang mesra dengan panggilan 'angah' lebih bersikap pendiam berbanding kebiasaannya selain kurang berselera ketika bersahur sehari sebelum kemalangan.
Anggota keluarga yang lain dan rakan-rakan anaknya turut memberitahu anaknya telah memohon maaf daripada mereka dan memberitahu dia mungkin tidak sempat berhari raya bersama mereka kali ini, katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beris Kubur Besar pada pukul 3 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Abdul Hamid Che Ahmad berkata mangsa yang datang dari arah Kota Baharu menuju Bachok dilapor membuat pusingan-U secara tiba-tiba sebelum dilanggar.
#Abdul Hamid Che Ahmad #Beris Kubur Besar #Kampung Sri Sentosa #Mohamad Amirul Shariff Kamsan
;