Matt Davies tinggalkan Pahang sertai JDT

Bernama
Februari 17, 2020 11:47 MYT
JDT dipercayai telah menebus kontrak Matt Davies dengan Pahang. - Gambar Instagram MATT DAVIES
Selepas beberapa spekulasi mengenai masa depannya dengan Pahang, pemain bek kanan kebangsaan, Matthew Davies akhirnya mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan pasukan pantai timur itu untuk menyertai pasukan lain.
Walaupun tidak mendedahkan pasukan baharunya, Bernama difahamkan pemain pertahanan kelahiran Australia itu akan menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dipercayai telah menebus kontraknya dengan Pahang.
"Hari ini merupakan hari terakhir saya bersama Pahang FA. Setelah lima musim dengan kelab ini dan lebih 150 perlawanan, saya mengucapkan selamat tinggal," menurut pemain itu yang lebih dikenali sebagai Matt Davies dalam hantaran terbaru di Instagramnya;matttdavies.
"Sukar untuk saya mengucapkan dengan perkataan bahawa negeri ini amat bermakna bagi saya dan sukarnya untuk dipisahkan. Pahang akan sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam sanubari saya. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan saya, kakitangan Pahang FA dan sudah tentu para peminat," tambah pemain berusia 25 tahun itu yang menyertai Pahang dari Australia, Perth Glory pada April 2015.
Davies juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden Pahang FA, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Almarhum Sultan Ahmad Shah yang memberikan beliau peluang menjadi kapten Pahang sejak 2016.
Sebelum itu, khabar angin dalam media sosial mendakwa JDT telah membuat tawaran menarik kepada Davies untuk menyertai skuad Harimau Selatan. - BERNAMA
#Matt Davies #Matthew Davies #pemain bek kanan kebangsaan #sertai JDT #tinggalkan Pahang
;