Matrikulasi: Kerajaan jamin kuota Bumiputera dikekalkan - PM
Farhan Hakimi
Julai 1, 2024 10:15 MYT
Julai 1, 2024 10:15 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus tegas mempertahan kuota Bumiputera meskipun jaminan diberikan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki program matrikulasi tanpa mengira kaum.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kuota itu harus dikekalkan kerana keputusan tersebut telah lama dibuat dan dikaitkan dengan prinsip Perlembagaan Perkara 153 serta jaminan masa depan Bumiputera Melayu agar tidak berlaku kesenjangan.
Kerajaan juga pada masa sama kekal mengiktiraf pelajar cemerlang berdasarkan prinsip meritokrasi.
Jelasnya, prinsip itu adalah adil dan munasabah kerana mereka yang cemerlang juga merupakan rakyat di negara ini.
"Semalam (Ahad) saya umum kedua-duanya, tetapi bab kedua ini tidak dilaporkan. Hari ini Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan cerakinkan dengan lebih jelas," katanya ketika berucap di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri sempena Perhimpunan Bulanan di Putrajaya pada Isnin.
“Tiap kali kerana kita ada kuota Bumiputera, kadang-kadang dijadikan isu keterlaluan, di satu pihak mahu menafikan hak minoriti, satu pihak lagi nak pertikai prinsip Perlembagaan dan jaminan kepada Bumiputera terutama secara nisbi dalam kedudukan lebih rendah kerana kemudahan di desa dan miskin bandar.
“Maka, kita ambil jalan agak adil dan munasabah. Kalau dia itu rakyat di negara kita, maka harus pelihara.
“Kita juga menerima kenyataan tentang meritokrasi. Siapa dapat 10A tanpa mengira kaum dan wilayah, kita berikan jaminan tempat di matrikulasi atau bagi Bumiputera, ada asasi,” ujarnya.
Terdahulu, kerajaan memberi jaminan semua pelajar cemerlang yang berjaya mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat pengumuman selanjutnya berkaitan peluang melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah.
Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, beliau bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir akan meneliti perkara itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya dengan pengumuman lain yang berkaitan.