MATRADE-HDC: MITI tubuh jawatankuasa pro tem selaras sumber dan rangka kerja operasi
Bernama
Oktober 25, 2024 23:30 MYT
Oktober 25, 2024 23:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membentuk Jawatankuasa Pro Tem untuk menyelaraskan sumber dan rangka kerja operasi bagi menyokong penggabungan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).
Kementerian itu juga dalam satu kenyataan hari ini berkata ia komited untuk memastikan sebarang penggabungan fungsi dan jawatan akan diuruskan dengan adil.
"Penggabungan ini bertujuan untuk meningkatkan kepimpinan dan daya saing Malaysia dalam pasaran halal global, yang dijangka mencapai AS$5 trilion menjelang 2030," katanya.
MITI berkata ini akan dilakukan menerusi operasi yang diperkemas, perkhidmatan asas yang boleh digabungkan dan juga sokongan pembangunan dan promosi perdagangan yang diperkukuh untuk pengeksport halal, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kementerian itu telah mula mengkaji untuk melaksanakan langkah tersebut susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025, untuk membentuk ekosistem perdagangan dan industri halal yang lebih kukuh dan lebih padu.
Penggabungan ini akan memperkukuh kemampuan fasilitasi eksport MATRADE, disokong oleh pengetahuan industri khusus oleh HDC, di samping memperluas akses pasaran untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia melalui rangkaian strategik 49 pejabat perdagangan MATRADE di seluruh dunia.
"Industri halal dan sektor eksport yang lebih kukuh juga akan menyokong PKS tempatan, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.
"Memandangkan penggabungan ini bertujuan untuk membolehkan kekuatan kedua-dua entiti saling melengkapi, semua pekerja sedia ada akan dikekalkan, sementara nilai jenama HDC akan dipelihara dan ditingkatkan," katanya.
MITI berkata penggabungan sedemikian juga penting untuk mempersiapkan Malaysia dengan penawaran halal yang lebih strategik, sambil bersiap sedia untuk memanfaatkan sepenuhnya Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025 untuk menarik pelaburan yang tepat dan memperluas eksport Malaysia di Asia, serta di negara rakan ASEAN yang utama.
Seperti yang digariskan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), objektif tersebut akan dicapai melalui penerapan teknologi inovatif, peningkatan kualiti produk dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa oleh industri halal Malaysia.
Reformasi industri yang disasarkan ini juga akan memastikan ketahanan dan daya saing sektor halal, dengan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rundingan perjanjian perdagangan dan memperluas akses pasaran untuk pengeksport halal kita.
"MITI, MATRADE dan HDC akan meneruskan pendekatan pembangunan menyeluruh dan sistematik dalam merancang sektor halal Malaysia, dengan melibatkan pihak berkepentingan utama yang lain, terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang bertanggungjawab bagi pensijilan produk dan perkhidmatan halal Malaysia.
"MITI yakin penggabungan MATRADE dan HDC akan mewujudkan ekosistem perdagangan dan industri halal yang lebih kuat dan tahan lasak yang menjanjikan sokongan yang lebih baik untuk perniagaan, pengiktirafan antarabangsa yang lebih besar terhadap kepimpinan halal Malaysia, serta ekonomi negara yang lebih kompetitif," kata kementerian itu.
-- BERNAMA