Matlamat Malaysia pasca 2020 wajar datang dari rakyat - Khairy

Hafiz Marzukhi
Mac 19, 2016 18:13 MYT
KHAIRY: Negara perlukan visi yang baharu selepas tahun 2020.
Matlamat serta harapan bagi Malaysia pasca 2020 harus datang daripada rakyat, terutama sekali generasi muda, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Oleh itu, tambah beliau, kementeriannya akan menerajui satu perbincangan berstruktur di peringkat nasional bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyat Malaysia, terutama sekali dari generasi muda, tentang negara yang mereka inginkan selepas 2020.
"Kami akan membuat perbincangan di semua peringkat.
"Ini adalah penting kerana 2020 hanya tinggal empat tahun sahaja lagi. Jadi kita perlukan visi yang baharu," kata Khairy, selepas merasmikan Kongres Belia Tahunan, 'What Malaysian Youth Should Know'.
Kongres tersebut diadakan di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC).
Katanya lagi, beliau percaya perkara tersebut wajar datang daripada rakyat sendiri.
"Jika Wawasan 2020 diilhamkan pemimpin negara, saya percaya matlamat selepas ini patut datang daripada rakyat.
"Negara bagaimanakah yang ingin dilihat rakyat pada tahun 2063, di mana ketika itu sudah mencapai ulang tahun ke-100 penubuhan Malaysia," kata Khairy.
#generasi muda #Khairy Jamaluddin #masa depan generasi muda #pasca 2020 #selepas Wawasan 2020 #visi baharu
;