MATEC 2024: Platform terbaik usahawan automotif perkenal produk tempatan

Nursyazwani Saiful Sham
September 21, 2024 16:37 MYT
MATEC 2024 menghimpunkan pemain industri Bumiputera, usahawan MARA, dan rakan strategik dalam ekosistem automotif, dengan lebih 100 pempamer dan sasaran 30,000 pengunjung. -Facebook MATEC 2024
KUALA LUMPUR: MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2024 menghimpunkan pemain industri Bumiputera, usahawan MARA, serta rakan strategik dalam ekosistem automotif.

Ringkasan AI
  • MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2024 menghimpunkan pemain industri Bumiputera, usahawan MARA, dan rakan strategik dalam ekosistem automotif, dengan lebih 100 pempamer dan sasaran 30,000 pengunjung.
  • MARA telah membelanjakan RM100 juta dalam bentuk geran, pinjaman, dan bengkel untuk menyokong usahawan dalam bidang automotif, memberi manfaat kepada lebih 4,000 usahawan.
  • Program ini membuka peluang kepada usahawan untuk menonjolkan produk tempatan, menarik minat anak muda dalam bidang automotif, dan menekankan kepentingan inovasi dan kreativiti dalam industri.

MARA membelanjakan RM100 juta dalam bentuk geran, pinjaman serta bengkel kepada para usahawan dalam bidang ini.
Beberapa pemain industri yang ditemui Astro AWANI berpendapat program MATEC 2024 ini membuka peluang untuk mereka menonjolkan produk tempatan selain menarik minat anak muda untuk menceburi bidang automotif.
Ketua Pengarah Eksekutif Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH), Mohd Izwan Mazlan, yang sudah berkecimpung dalam industri ini selama 20 tahun berpendapat program seperti ini dapat memberi penerangan kepada umum berkaitan peranan MARA dalam industri automotif.
“Saya sangat menyokong program seperti ini kerana ia boleh memberi pendedahan kepada usahawan untuk menceburi bidang automotif.
“Program ini juga sangat sesuai untuk anak muda selain menarik minat mereka dalam kemahiran TVET dan bagaimana ia membuka peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prowheels Distribution, Mohd Majdi Mohd Ramlee berkata MATEC 2024 memberi peluang kepada usahawan seperti dirinya untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Setakat ini syarikat kami mempunyai 500 wakil pengedar dan menerusi program ini usahawan lain juga diberikan peluang untuk memulakan perniagaan.
“Banyak kejayaan yang ditampilkan menerusi program ini selain ia menyediakan bengkel-bengkel latihan kepada pemain industri untuk menjalankan perniagaan melalui saluran yang benar sehingga mencapai sasaran jualan,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan Mannol Malaysia, Harishfathimi, program MATEC 2024 yang diadakan buat julung kalinya ini memberi pendedahan kepada pemain industri tentang kepentingan inovasi dan kreativiti.
“Cabaran utama pemain industri adalah untuk bersaing antara satu sama lain. Bukan hanya mementingkan produk yang dijual, tetapi juga inovasi dan kreativiti memainkan peranan penting dalam bidang ini.
“MARA sangat membantu kepada pemain industri kerana badan itu akan memberikan tunjuk ajar dari mula sehingga akhir dan memupuk minat usahawan terutamanya dalam bidang automotif ini untuk mengetengahkan produk mereka,” katanya.
MATEC 2024 yang diadakan di pekarangan Stadium Bukit Jalil menyasarkan kehadiran seramai 30,000 pengunjung selama tiga hari berlangsung bermula Jumaat dengan lebih 100 pempamer yang terdiri daripada industri automotif.
#TVET #MARA #MATEC 2024 #Prowheels Distribution #Mazlan & Hashimah #Mannol Malaysia
;