Mata wang asing lama, sijil perkahwinan dalam peti besi - jurucakap Najib

Bernama
Mei 18, 2018 05:52 MYT
Anggota polis membuat kawalan keselamatan di laluan keluar masuk di kediaman peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Duta, Kuala Lumpur. Gambar fail
Sebuah peti besi di kediaman peribadi Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini telah berjaya dibuka dan di dalamnya tersimpan mata wang asing lama yang kecil jumlahnya.
Jurucakap bekas perdana menteri, dalam kenyataan lewat malam tadi, berkata ia turut mengandungi beberapa dokumen termasuk sijil perkahwinan Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.
"Ia merupakan sebuah peti besi yang berusia lebih 20 tahun dan dibuka secara paksa kerana kuncinya telah hilang," katanya.
Menurutnya, peti besi itu terpaksa dibuka menggunakan kepakaran tukang kunci.
BACA: Lapan lagi peti besi akan dibuka
BACA: Akhirnya, peti besi lama dari kediaman Najib Razak berjaya dibuka
BACA: Tukang kunci dipanggil untuk buka peti besi di rumah Najib
Jurucakap itu seterusnya berkata peti besi di kediaman rasmi Seri Perdana di Putrajaya merupakan sebahagian daripada rumah berkenaan.
"Tidak sepatutnya timbul masalah membukanya," menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, polis dilaporkan menghadapi kesukaran membuka peti besi di kediaman peribadi Najib di Taman Duta itu selepas dikatakan kunci tersebut sudah lama hilang.
Penggeledahan di kediaman peribadi bekas perdana menteri itu, serta lima lagi lokasi lain, adalah sebahagian daripada siasatan kes penyelewangan dana, syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (IMDB).
-- BERNAMA
#1Malaysia Development Berhad #Jalan Langgak Duta #mata wang asing #Najib Razak #penyelewangan dana #peti besi #Rosmah Mansor #siasatan #sijil perkahwinan #tukang kunci
;